Monday, 25 May 2009

Apakah Ada Beza Antara Anak Angkat Dan Anak Pelihara?

Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga bercita-cita untuk memiliki zuriat mereka sendiri. Namun, tidak semua pasangan memperoleh apa yang mereka hajatkan. Ada yang terhalang oleh faktor biologi, ada juga yang belum sampai masanya. Namun, naluri terhadap anak ini tetap ada dan kerana itulah ramai pasangan yang beralih kepada anak angkat untuk memenuhi naluri ini.

Di Malaysia, secara umumnya, ada dua cara untuk mendapatkan anak angkat. Pertama, mendapatkan anak tersebut dengan cara sendiri iaitu terus dari ibubapa yang sanggup memberikan anak mereka sebagai anak angkat. Kedua, dengan memohon kepada JKM.

Dari segi JKM, khidmat pengambilan anak angkat ini merujuk kepada penempatan kanak-kanak yang tiada keluarga dalam keluarga angkat supaya mereka dapat terus menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga. Berdasarkan kepada fungsi JKM itu sendiri, ia mempunyai anak-anak yang boleh dijadikan anak angkat kerana ia menjalankan fungsi penjagaan anak-anak yang terbuang atau teraniaya dan sebagainya. Kanak-kanak ini ditempatkan di rumah kanak-kanak yang di bawah pentadbiran JKM. Terdapat empat rumah kanak-kanak kesemuanya iaitu:-

~Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras
~Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah (Kuantan, Pahang)
~umah Kanak-kanak Taman Bakti di Seberang Perai
~Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar, Perak.


Dalam menjalankan fungsi menempatkan anak angkat kepada keluarga angkat ini, faktor utama yang diambilkira oleh JKM ialah kebajikan anak tersebut. Untuk itu, berbagai maklumat cuba didapatkan dari pasangan yang berminat bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu terpelihara. Justeru, selain mengisi borang, pasangan yang memohon untuk mendapatkan anak angkat ditemuduga bagi penyediaan laporan sosial mereka. Antara maklumat yang cuba diperolehi ialah latar belakang sosial mereka serta kesanggupan mereka menjadi keluarga angkat di samping memenuhi syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 dan Akta Pengangkatan 1952 (untuk bukan Islam) atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (untuk orang Islam).

Di samping mendapatkan maklumat pemohon, pemohon juga dimaklumkan tentang perkara-perkara lain seperti implikasi menjadi keluarga angkat, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai keluarga angkat, latar belakang bayi/kanak-kanak di bawah jagaan JKM serta hakikat bahawa pemohon tidak boleh memilih bayi dari paras rupa fizikal tetapi boleh memilih dari segi umur dan jantina.

Semasa menemubual pemohon, pegawai JKM juga cuba membuat penilaian-penilaian berikut tentang para pemohon:
a) Hubungan perkahwinan pemohon adalah kukuh dan bahagia
b) Mereka mampu memberi kasih sayang kepada anak angkat itu nanti
c) Permohonan dibuat dengan ikhlas dan sepenuh hati dan bukannya kerana paksaan atau tekanan mana-mana pihak
d) Kedua-dua pihak (suami dan isteri) setuju dengan permohonan tersebut
e) Mereka faham implikasi dan cabaran menjadi keluarga angkat dan yakin dapat mengatasi masalah tersebut secara keluarga


Bagi menilai sama ada pasangan tersebut layak atau tidak memperolehi anak angkat, kriteria-kriteria berikut digunakan:
a) Pasangan tersebut disahkan tiada kemungkinan melahirkan anak (untuk itu pengesahan perubatan didapatkan dari mereka bagi memastikan yang mereka telah berusaha berbagai cara untuk mendapatkan anak tetapi tidak berhasil).
b) Pasangan tersebut sudah berkahwin selama 5 tahun atau lebih tetapi masih belum mempunyai anak.
c) Pasangan tersebut mampu memberi belaian kasih sayang, jagaan dan perlindungan yang sempurna.
d) Pasangan tersebut mampu memelihara anak tersebut dari segi ekonomi, kesihatan, sosial, emosi, mental dan lain-lain.
e) Pasangan yang mempunyai anak kandung diberi pertimbangan sekiranya mereka sanggup mengambil kanak-kanak yang sudah besar.